Jadi Kaya Secara Automatik Dengan Membayar Hutang

Tajuk ini memang pelik, tetapi ianya benar.

Soalan saya kepada para pembaca budiman ialah, “Baguskah melakukan pinjaman?”

Jawapan pendeknya ialah bagus.  Jawapan panjangnya pula adalah berbagai biarpun kesimpulan akhir dan jelasnya ialah memang bagus meminjam wang jika satu syarat terpenting dipenuhi.  Akan saya jelaskan apakah syarat ini di akhir artikel ini.

Di dalam artikel ini, saya ingin tumpukan perhatian anda kepada “disiplin” kewangan.

Salah satu keperluan utama untuk berjaya meningkatkan kekayaan peribadi ialah memiliki disiplin yang tinggi.  Disiplin ini pula, mesti dituruti dengan pengetahuan yang mendalam kerana jika hanya mempunyai disiplin, kesilapan mudah berlaku dan kerugian akan menyusul.  Penat menyimpan, hangus begitu sahaja nanti.  Sebagai seorang penulis dan penyelesai segala permasalahan kewangan, saya cuba bantu para pembaca meningkatkan pengetahuan agar lebih berjaya.  Saya juga mengutamakan kesenangan cara.  Oleh itu, kesemua nasihat saya adalah mudah dituruti dan amat membantu.  Berbalik kepada topik artikel ini, ianya adalah berkenaan dengan menjadi kaya dengan automatik, dengan berhutang! Memang pelik, tetapi ianya biasa sahaja kerana mungkin tanpa anda sedar, memang anda sedang melakukannya!

Ramai yang menganggap bahawa menyimpan wang secara biasa setiap bulan adalah sesuatu yang mudah untuk dilakukan.  Sudah pasti mereka telah silap! Menyimpan wang setiap bulan secara berterusan adalah amat susah sekali.  Ianya memerlukan tahap disiplin peribadi yang amat tinggi.

Perhatikan contoh “challenge” di bawah yang sudah pasti mencabar:

Saya cabar perokok tegar supaya berhenti merokok, kemudian simpan wang tersebut setiap bulan!

Ini adalah nampak mudah, tetapi ianya bagai 99% mustahil! Berhenti merokok? Itu sudah satu cabaran yang sungguh getir.  Berapa kerat sahaja perokok tegar yang berjaya berhenti? Ianya seperti diet pemakanan; naik, turun, naik turun berat badan.  Sekejap boleh, tetapi lepas seketika, kecundang jua.  Jika berjaya berhenti (sudah pasti sekalung tahniah!) maka cabaran seterusnya ialah simpan wang tersebut setiap bulan! Ianya adalah dua cabaran di dalam satu dan saya jamin, ianya cukup susah untuk dilakukan!

[Kepada yang bukan perokok, saya cabar simpan “duit Starbucks dll” anda setiap bulan, boleh atau tidak?]

Apakah pulangan kepada perokok supaya cabaran saya ini disahut dan dilaksanakan?

Menurut artikel saya di http://1-million-dollar-blog.com/the-imagined-epf-retirement-crisis-a-fact-less-drama/ saya jelaskan, jika wang tersebut disimpan, perokok-perokok tegar ini akan memiliki wang simpanan sebanyak RM459,000 apabila mereka bersara, “on top of” wang persaraan mandatori mereka!  Jika mereka simpan ke dalam ASB, ianya mungkin mencecah RM550,000!  Maka jika duit simpanan KWSP biasa mereka ialah RM500,000, mereka akan ada lagi RM550,000 dan akan terus menjadi jutawan!

Kesimpulannya, seperti di dalam artikel tersebut ialah, berhenti sahaja merokok jika ingin menjadi kaya dan sihat! Dan jangan salahkan kerajaan atau orang lain jika tidak cukup wang di hari tua kelak!

Saya harap anda akan baca artikel yang amat menarik tersebut.  Berbalik kepada topik kita mengenai disiplin di dalam artikel ini, ingin saya tegaskan, biarpun sudah amat jelas bahawa wang yang amat besar boleh dijana oleh para perokok, berapa ramaikah yang akan benar-benar berhenti merokok apabila mengetahui fakta ini?

Inilah salah satu bukti jelas menunjukkan bahawa memang susah untuk menyimpan wang.  Oleh itu, sebagai manusia biasa yang diuji dengan bermacam-macam masalah dan kelemahan, ada beberapa teknik seperti berikut yang boleh digunakan oleh kita.

Jika mahu meningkatkan disiplin dan kekuatan mental untuk menyimpan secara berterusan ini, teknik pertama ialah melakukan simpanan tersebut secara automatik, iaitu setiap kali gaji diperoleh dengan melakukan “Standing Instruction atau SI”.  Teknik ini berkesan, tetapi ianya mempunyai kelemahan.  Bolehkah anda meneka kelemahannya?

Ya, bila sengkek duit sedikit sahaja, simpanan tersebut akan dirobek oleh pemiliknya tanpa berfikir panjang.  Ada yang berfikir panjang, tetapi tetap mengambil juga wang simpanan tersebut.  Sikit dahulu, kemudian tambah sedikit lagi, dan lagi, dan lagi.  Bagaimana nak melawan keperluan merawat seorang anak yang sakit? Terpaksalah ambil wang tersebut.  Kucing yang sakit, dan macam-macam sakit, kadang-kadang yang tak berapa sakit pun akan ikut masuk sekali.  Inilah masalah dan cabaran utama penyimpan wang secara ini.  Perkara yang nampak sangat perlu, sangat penting, tetapi sebenarnya tidak pun, mengaburi mata dan akhirnya wang tersebut akan keluar juga.  Maka teknik ini amat bocor dan susah dilakukan jika “iman” tidak kukuh.

Teknik kedua ialah memasukkan wang ke dalam “mandatory retirement funds”, juga secara potongan gaji.  Teknik ini sudah pastilah bagus, memang gerenti boleh banyak wang, kerana susah untuk dikeluarkan kembali.  Malah, sehinggakan tidak boleh dikeluarkan langsung.  Wang sebegini, tiada gunanya jika tidak boleh menolong tuannya apabila sangat-sangat diperlukan.  Apa guna wang simpanan ratusan ribu jika tuannya mati kerana tiada wang untuk rawatan? Maka teknik menyimpan ke dalam “mandatory funds” ini mempunyai kelemahan yang amat ketara.

Teknik ketiga, dan yang menjadi fokus kita ialah menyimpan duit dengan meminjam! Lakukan pinjaman dan bayar hutang tersebut setiap bulan.  Ianya tidaklah mudah diaccess, tetapi boleh jika sangat perlu.  Jika anda ambil Loan ASB dan anda membayarnya setiap bulan, anda akan memiliki ekuiti simpanan yang akan meningkat naik setiap bulan.  Wang tersebut selamat disimpan, dan boleh dicapai jika teramat perlu.  Teknik ini mampu menewaskan kesemua masalah-masalah terbabit yang menghalang seseorang itu menyimpan wang secara konsisten.

Bolehkah anda mendapat keuntungan jika anda lakukan Loan ASB? Jawapannya ada di dalam buku saya, “Kontroversi Pinjaman ASB”.  Sama ada untung atau pun sebaliknya, apa yang lebih penting ialah membayar Loan ASB ini akan gerenti menyebabkan anda konsisten menyimpan wang tanpa henti.  Kesan ke atas psikologi minda di antara menyimpan wang secara biasa, atau dengan cara membayar hutang, adalah sungguh berbeza.  Jadi jika anda tukarkan mentaliti anda kepada “membayar hutang” dan bukan lagi menyimpan wang, respon anda kepada masalah ini akan berubah dengan sendirinya.  Malah, orang lain di keliling anda juga akan ikut sekali mengubah persepsi dan psikologi mereka.  Sebagai contoh, jika anda tiada wang kerana membayar hutang Loan ASB anda, dan ada saudara mara yang datang ingin meminjam wang, dan anda beritahu bahawa duit tiada kerana anda pun masih “berhutang”, maka anda akan dapat melawan kehendak mereka dan selamatkan kewangan anda.

Teknik menyimpan dengan berhutang ini sungguh menguntungkan kerana kebanyakkan kes-kes merobek simpanan sendiri sebenarnya boleh ditangkis dan tidak perlu.  Ini adalah sebab utama mengapa mereka yang menyimpan sendiri dan tidak melakukan pinjaman, akan memiliki simpanan yang corot berbanding dengan mereka yang melakukan pinjaman.  Jika dikaji dengan lebih teliti, majoriti orang Malaysia sebenarnya memiliki simpanan-simpanan mereka di dalam akaun-akaun yang tidak boleh disentuh, seperti KWSP dan sebagainya.  Simpanan KWSP ini selalunya adalah yang terbesar, kerana ianya tidak boleh disentuh dengan mudah.  Jarang kita dengar orang memiliki simpanan yang besar di dalam akaun-akaun biasa yang bukan akaun mandatori kerana jika ada, sudah pasti akan dibelanjakan!

Stigma takutkan pinjaman ini patut dibuang kerana kebaikannya jauh melebihi keburukannya (jika ada).  Jika ditakdirkan wang simpanan tersebut diperlukan juga, pinjaman ASB tersebut boleh ditamatkan dengan serta merta, dan baki hutang akan dilangsaikan dan ekuiti pelabur akan diberikan (biasanya di dalam tempoh 2 minggu ke 4 minggu).  Tetapi sebelum perkara ini berlaku, sudah pastilah pelabur akan memikirkan secara semasak-masaknya sama ada ingin tamatkan pinjaman tersebut atau pun tidak.

Apakah stigmanya melakukan pinjaman setinggi dua ratus ribu untuk ASB dan apakah masalahnya, padahal apabila meminjam wang untuk membeli rumah, boleh sahaja pinjam setinggi setengah juta (malah lebih) begitu sahaja tanpa berfikir panjang? Jika ada yang berpendapat menyimpan wang secara tunai dan setiap bulan secara konsisten adalah lebih baik daripada meminjam wang, jadi mengapa pula mereka boleh meminjam wang untuk membeli rumah? Mengapakah mereka tidak simpan wang secara tunai seperti yang mereka katakan dan bila sudah cukup, barulah beli rumah secara tunai 25 tahun kemudian? Bukankah secara asasnya tiada perbezaan jika meminjam untuk melabur ke dalam ASB, dengan meminjam untuk melabur membeli rumah?

Tetapi jika meminjam wang untuk dilabur ke dalam ASB adalah jauh lebih menguntungkan, apakah yang akan anda lakukan?  Jawapannya ada di dalam buku saya Kontroversi Pinjaman ASB.

Sebelum saya tamatkan artikel ini, ingin saya jelaskan apakah syarat utama yang mesti dipenuhi untuk melakukan pinjaman yang gerenti menguntungkan.  Syarat tersebut ialah, pinjaman tersebut mestilah untuk atau digunakan untuk menjana aset atau hasil-hasil baharu.  Pinjam wang untuk membeli mesin untuk mempercepatkan kerja adalah bagus, tetapi meminjam wang untuk membeli emas, sudah pastilah tidak bagus.  Maka patuhilah syarat ini untuk kebaikan anda!

https://sirikewanganperibadi.wordpress.com/

Artikel ini ditulis oleh Sharif Rahman, pengarang beberapa buah buku fokus kepada kewangan seperti “259 Trillion Vs 5 Trillion book series”, “Soal Jawab Kewang Peribadi” dan “Kegagalan Emas Sebagai Matawang”

0 comments… add one

Leave a Comment

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.